Empat Golongan Yang Dikutuk Allah S.W.T

Empat Golongan Yang Dikutuk Allah S.W.T


 “Daripada Ali ra, katanya: Rasullullah SAW telah menceritakan kepadaku empat kalimat: Allah melaknat (mengutuk)sesiapa yang menyembelih untuk selain Allah, Allah melaknat sesiapa yang melaknat kedua orang tuanya, Allah melaknat sesiapa yang melindungi pembuat bid’ah, Allah melaknat sesiapa yang merubah batas tanah,                                                                                                                                                          (HR Muslim)

HURAIAN HADIS

            Menurut IbnuTaimiyah: “Kalimah” tidak dipergunakan dalam bahasa Arab kecuali untuk menyatakan “Jumlah Mufidah” iaitu rangkaian beberapa kata yang mengandungi makna yang sempurna.

            Sedangkan makna: “laknat Allah” pula ialah dijauhkan daripada rahmat Allah. Oleh itu bila dikatakan: “Ya Allah, laknatkanlah si fulan“ maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah si fulan daripada rahmat-Mu”.

            Ada pun empat kalimah yang dimaksudkan ialah:

Allah mengutuk orang yang menyembelih untuk selain Allah..
Allah mengutuk sesiapa yang melaknat kedua orang tuanya,
Allah mengutuk sesiapa yang melindungi pembuat bid’ah
Allah mengutuk sesiapa yang merubah batas tanah

ALLAH MENGUTUK ORANG YANG MENYEMBELIH SELAIN ALLAH

            Ibadah adalah hak Allah. Inilah tauhid yang membezakan antara muslim dengan kafir, iaitu Tauhid Ibadah. Inilah kandungan utama kalimah ikhlas”:Laa Ilaaha Illal Laah” dan “iyyaaka Na’budu”. Dan ibadah ada empat bentuk:

Ibadah Lidah, seperti doa, istighaatsah dll.
Ibadah Hati, seperti ikhlas, khauf, rajaa dll.
Ibadah Badan, seperti solat, puasa dll.
Ibadah Harta, seperti zakat, sedekah, penyembelihan dll
Ibadah Badan dan Harta, seperti haji, umrah dll.

Semua ibadah tidak boleh ditujukan kecuali kepada Allah. Oleh itu, kerana penyembelihan merupakan salah satu ibadah, maka adalah syirik hukumnya sesiapa yang menyembelih untuk selain Allah.

            Maksud penyembelihan disini mencakupi semua jenis penyembelihan seperti: ayam, lembu, kambing dan sebagainya. Dan yang dimaksudkan “untuk selain Allah” mencakupi menyembelih untuk Nabi, untuk Malaikat, untuk Jin dan sebagainya.

            Ungkapan diatas mengandungi dua kemungkinan, iaitu: “Jumlah Khabariyah” atau “Jumlah Insyaa-iyyah”. Jika digunakan makna”khabariyah”: Rasul SAW mengkhabarkan bahawa Allah SWT mengutuk sesiapa yang menyembelih untuk selain Allah. Dan jika dengan makna “Insyaa-iyyah”: Ya Allah, kutukkanlah sesiapa yang menyembelih untuk selain-Mu.

            Makna “Khabariyah” dalam hal ini adalah lebih tepat kerana doa (insyaa-iyyah) mungkin dikabulkan dan mungkin pula tidak dikabulkan.

ALLAH MENGUTUK ORANG YANG MENGUTUK KEDUA ORANG TUANYA

            Yang dimaksudkan dengn kedua orang tuanya termasuk kedalamnya datok dan nenek keatas. Sebab yang menjadi masalah disini bukan masalah harta tetapi termasuk masalah hak. La’nat yang muncul daripada yang lebih rendah adalah lebih besar dosanya daripada laknat yang yang muncul daripada yang lebih tinggi. Kerana pihak yang lebih tinggi lebih utama dihormati.

            Adapun yang dimaksud dengan mengutuk kedua orang tuanya ialah mencaci maki mereka (subb dan Syatam). Oleh itu jika seseorang mencaci maki orang lain bererti ia telah melaknat atau mengutuknya.

            Rasullullah SAW pernah ditanya: Bagaimana seseorang mengutuk kedua orang tuanya? Jawab baginda SAW: Dia mencaci maki ayah seseorang lalu orang tersebut mencaci maki pula ayahnya: dan dia telah mencaci maki ibunya (orang tersebut), lalu ia mencaci maki ibunya. (HR Muslim).


            Para fuqahaa (Pakar Ilmu Fiqh) membuat suatu kaedah berdasarkan hadis ini:

Ertinya: Sesungguhnya sebab sama kedudukannya dengan pelaku

ALLAH MENGUTUK ORANG YANG MELINDUNGI PEMBUAT BID’AH

            Yang dimaksudkan dengan pembuat bid’ah di sini bukan hanya terbatas pada bid’ah dalam urusan ugama seperti fahaman Mu’tazilah, Rafidhah, tetapi juga termasuk dalam urusan umat seperti pembuat jenayah dan yang seumpamanya.

            Barangsiapa yang melindungi pembuat bid’ah atau pelaku jenayah maka ia terkutuk (Mal’uun). Demikian juga bagi orang yang menolong mereka kerana memberi perlindungan kepada mereka bermakna menghalangi mereka daripada dikenakan hukuman. Oleh itu, memberi pertolongan kepada mereka adalah lebih besar dosanya daripada sekedar melindungi mereka.

            Dan tidak dinafikan lagi bahawa orang yang melakukan bid’ah atau jenayah adalah lebih besar dosanya. Sebab kalaulah melindungi mereka sahaja menjadi sebab mendapat laknat Allah, maka orang yang melakukan bid’ah itu adalah lebih besar dosanya.

            Baginda rasul SAW memberi amaran keras ke atas orang yang melakukan bid’ah seperti sabdanya yang bermaksud: ‘Hindarkanlah daripada mengada-adakan perkara baru, kerana sesungguhnya semua perkara baru adalah bid’ah” (Hadis Sahih Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).

            Hadis ini termasuk ke dalam salah satu wasiat Rasullullah SAW ketika beliau akan wafat. Oleh itu pesan penting mestilah mendapat perhatian sewajarnya daripada kita umat Islam. Kita sungguh yakin bahawa Islam adalah agama yang sudah sempurna.

ALLAH MENGUTUK ORANG YANG MEROBAH BATAS TANAH

            Yang dimaksudkan dengan “Manaaral Ardh” ialah tanda-tanda yang dipergunakan untuk membatasi antara tanah kita dengan tanah jiran, samada batas rumah atau batas kebun.

            Barangsiapa yang merubah batas tanah secara zalim maka dia dikutuk (mal’uun) oleh Allah SWT. Sungguh banyak perkara ini terjadi dalam masyarakat yang tamak, lebih-lebih lagi jika mereka mengetahui harga tanah tersebut akan tinggi dan mahal.

            Seolah-olah mereka tidak pernah mengetahui amaran keras dari Rasullulah SAW kepada manusia jenis itu, Sabdanya yang bermaksud: “Barangsiapa mengambil sejengkal tanah orang lain secara zalim, maka kelak dia akan ditimpa oleh tujuh lapis bumi”. (HR Muslim).

Hadis ini memberi gambaran kepada kita betapa besarnya dosa orang yang berani secara zalim mengambil hak orang lain iaitu dengan merobah tanda atau batas tanah.

KESIMPULAN:

1. “Laknat Allah “ ertinya jauh dari rahmat Allah sedangkan “Laknat Manusia” pula maknanya mencaci maki.
2. Empat golongan yang akan mendapat laknat Allah  iaitu: Orang yang menyembelih untuk selain Allah, orang yang mencaci kedua orang tuanya, orang yang melindungi pembuat bid’ah, dan orang yang merubah batas tanah
3. mencaci maki ibu bapa sangat besar dosanya, itulah sebabnya larangannya selalu mengiringi larangan berbuat syirik.
4. Demikian juga melindungi pembuat bid’ah. Maksud bid’ah di sini bukan hanya terbatas pad bid’ah urusan agama tetapi juga bid’ah dalam urusan umat. Seperti melindungi pengisap dadah, pembunuh, penzina, peraswah dsb.
5. Allah sangat murka kepada orang yang mengambil hak orang lain secara zalim seperti merubah batas tanah dsb.
Terbaru Lebih lama

BACA JUGA!