Bismillah itu mula disebut
Rahman dan Rahim sifat mengikut
Dunialah akhirat nyatalah luput
Jalan hakikat pula diturut
Alhamdulillah pujinya insan
Rabbil Alamin sifatnya Tuhan
Selawat Nabi akhir zaman
Muhammad Amin Abi Burrahman
Jalan yang takzim pula dikata
Atas Nabi junjungan kita
Sahabat yang empat nyatalah serta
Tiada berhenti sekejap masa
Jalan hakikat sangat terbilang
Tiada binasa urat dan tulang
Daging dan darah tiada hilang
Maka sifat itu dibawa pulang
Jikalau sifat kita sudah binasa
Kepada Nabi tiada berjumpa
Segala amalan tiada tiba
Tiada dapat syurga yang baqa
Jangan binasa sifatmu tuan
Tiada berjumpa hamba dengan Tuhan
Hakikat kita tinggal di jalan
Segala amalan menjadi haiwan
Jikalau begitu kita tidak mengkaji
Kepada Nabi mendapat keji
Malaikat tiada membawa wahi
Allah tiada mungkirkan janji
Mengenal Tuhan tak boleh nyata
Kerana tak boleh dipandang mata
Hingga diri jua dicita
Kenal olehmu sifatnya kita
Tatkala Adam dengannya Hawa
Dendam berahi antara keduanya
Nafi dan isbat itulah dia
Kepada kita menjadi rahsia
Cari guru mengenal diri
Yang diamanat olehlah Nabi
Jangan takut penat dan rugi
Asalkan dapat ilmu sejati
Guru yang mursyid hendaklah dicari
Itulah ulama yang mewarisi Nabi
Jika di situ dia mengajari
Di situlah tuan menyerah diri
Wahai sekelian saudaraku
Mengenal waktu biarlah tentu
Jikalau tak kenal waktu itu
Akhirnya kamu menyembah batu
Waktu kita di alam roh
Berkata Allah kepada nyawa
Bukankah Aku Tuhanmu segala?
Betullah itu Tuhan katanya nyawa
Jadi olehmu mursyid yang utama
Yang sebenar makrifah boleh dibawa
Seperti badan dengannya nyawa
Dunia akhirat bersama-sama
Hakikat makrifat menyucikan badan
Air maal hayat yang menjalankan
Zikrullah yang diasyikkan
Kurangkan tidur ataupun makan
Jalan hakikat bukan kepalang
Jalan disuluh semuanya terang
Zahir dan batin semuanya lapang
Kerana Sir yang Empunya pandang
Wahai saudaraku dengarlah tuan
Yang sebenar hidup itu katanya Tuhan
Kuntum yang tujuh di situlah tersimpan
Itulah pakaian Wali Sembilan
Kuatnya tubuh itulah nyawa
Sekalian yang zahir takluk padanya
Syurga yang tujuh dia yang punya
Kepada kita menjadi rahsia
Jalan hakikat sangat terpilih
Hendaklah tahu asalnya benih
Nafi di dalam hati yang putih
Makrifat kita barulah jernih
Adapun sifat makni tidak bersekutu
Sifat Allah namanya itu
Tiada boleh bandingkan sesuatu
Wujud Allah namanya itu
Tuntutlah ilmu walau di mana
Amal dan ilmu tiada terhingga
Amal tanpa ilmu diazab kita
Di akhirat tiada berguna
Kejadian kita dari air yang lazat
Cahayanya seperti kilat
Tatkala asyik tiada ingat
Barulah ada junub dan janabat
Di wadi mani manikam
Asalnya ia daripada kalam
Dengan kudrat Tuhan Khaliqul Alam
Yang menjadikan tubuh anak Adam
Jikalau begitu kita tidak mengkaji
Kepada Tuhan mendapat keji
Malaikat tiada membawa wahi
Allah tiada mungkirkan janji
Jika tariqat hendak dibawa
Carikan guru akan petuanya
Supaya kita jangan bertuhankan nyawa
Hakikat kita tiada derhaka
Syarat rukunnya sudah diketahui
Sah batalnya demikian lagi
Amal diterima Tuhan Ilahi
Syarat rukunnya sudah diketahui
Siapa beramal dengan jahalnya
Tiada tahu sah batalnya
Amal tiada diterima Tuhannya
Di dalam neraka kekallah ia
Wahai sekelian saudara-saudaraku
Mengenal Ka'abah biarlah tentu
Jikalau tak kenal Ka'abah itu
Akhirnya kamu menyembah batu
Wahai saudara tua dan muda
Fikirkanlah kamu sentiasa
Janganlah seperti orang yang buta
Tinggal ilmu mencari harta
Hidup tiada ingat akan mati
Bersukaria sepanjang hari
Hanya harta dapatkan diri
Tiga lapis kain kafan saja Ia beri
Jalan hakikat bukan kepalang
Jalan disuluh semuanya terang
Jikalau hati syak dan waham
Cahaya yang terang menjadi kelam
Wahai sekalian saudara-saudaraku
Jalan hakikat demikianlah itu
Jikalau boleh pintalah selalu
Jangan binasa sifatmu itu
Hati yang mukmin suci dan ikhlas
Laksana air di dalam gelas
Cuci hatimu seperti kapas
Makrifah kita barulah jelas
Syariat itu martabatnya tinggi
Yang dipakai oleh Sayyidina Ali
Barangsiapa dapat asalnya jadi
Yang bergantung tiada bertali
Syariat tariqat terlalu mulia
Itulah pakaian Wali Ambiyya
Barangsiapa dapat asalnya
Bolehlah membawa badan serta nyawa
Berhati hati ketika berjalan
Takut kaki terpijak duri
Belajar baik baik jalan Ketuhanan
Jangan sampai bertuhankan diri
Baik baik menebang buluh
Buluh ditebang dikerat kerat
Hati hati mengenal tubuh
Didalam tubuh adanya sifat
Tags
abu muhammad
agung
akan datang
budak nakal
Bukti Kebenaran Al Quran
burung burung
islam
jahat
jibrail
jurang
kasih sayang
Kisah-kisah Nabi/Ahli Sufi/