Jumlah Pengeluaran Peranti 5G Dijangka Mencecah 550 Juta Unit Secara Global Tahun Ini


Rangkaian 5G menjanjikan bukan sahaja sambungan internet yang jauh lebih pantas berbanding apa yang dinikmati sekarang, tetapi juga mampu membuka peluang kepada pelbagai jenis industri untuk memanfaatkan kelajuan internet yang pantas tidak kira dimana anda berada.

Pelbagai negara di seluruh dunia telah mula menawarkan pelan rangkaian 5G, dan peranti-peranti yang menyokong rangkaian tersebut juga telah banyak dijual di seluruh dunia, termasuklah Malaysia.


Sebuah laporan daripada Digitimes menjangkakan bahawa jumlah pengeluaran peranti dengan sokongan 5G akan meningkat ke sekitar 550 juta unit pada tahun ini.

Syarikat-syarikat pembuat cip seperti Qualcomm dan MediaTek telahpun mula membangunkan cip-cip pemprosesan dengan sokongan 5G untuk peranti kelas perengahan yang dijangka akan menambah jumlah pengguna yang boleh menikmati rangkaian generasi terbaru ini kelak.


Malah, beberapa peranti kelas pertengahan dengan sokongan 5G seperti Oppo Reno 5, Samsung A42, Huawei Nova 7s dan OnePlus Nord sudahpun tiba di pasaran tempatan dan boleh dibeli pada harga mampu-milik.

Hari ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru sahaja mengumumkan bahawa rakyat Malaysia bakal menikmati kelajuan rangkaian 5G secara berperingkat bermula penghujung tahun ini. Dengan pengumuman ini, ia dijangka bahawa lebih ramai lagi rakyat Malaysia juga akan mula menaiktaraf peranti-peranti mereka untuk cuba menggunakan rangkaian baru ini.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

BACA JUGA!