Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, kini mengatakan hasil pemantauan mendapati terdapat sejumlah penyedia perkhidmatan yang masih membuat promosi mengelirukan dan tidak menyatakan secara jelas terma dan syarat bagi perkhidmatan yang ditawarkan, termasuk berkaitan FUP (Fair Usage Policy).
Seperti ramai sedia maklum, perkara ini sering dilakukan penyedia perkhidmatan untuk pelan tanpa had. Pelan telekomunikasi sering diiklankan dengan mengatakan ia hadir dengan penawaran data tanpa had, tetapi sebaliknya ia hadir dengan FUP tersembunyi yang tidak dimaklumkan kepada pengguna secara terang.
Untuk makluman, FUP adalah pendekatan untuk memberi pengalaman setara untuk semua pengguna, dan membendung penggunaan keterlaluan yang akan menjejas pengalaman pengguna lain. Walaupun pendekatan ini baik bagi menjaga pengguna di sesuatu talian, tetapi ia menjadi masalah apabila tidak dinyatakan dengan terang kepada pelanggan atau dibawah sesuatu promosi.
SKMM mengatakan, mereka telah mengeluarkan notis arahan kepada empat penyedia perkhidmatan, iaitu Celcom, Maxis, TuneTalk dan Webe kerana tidak patuh kepada peruntukan berkaitan pengiklanan. Syarikat telekomunikasi berkaitan turut telah diarahkan untuk membuat tindakan pembetulan ke atas promosi yang mengelirukan.
SKMM turut menyeru orang ramai untuk memahami sesuatu promosi pelan dengan mendalam sebelum membeli atau melanggannya. Pastikan juga pelan yang dilanggan itu bersesuaian keperluan anda
Tags
Telco