Tahukah anda, apakah sebenarnya yang menjadi kekuatan pada diri manusia? Selain akalnya yang menyimpan berjuta inspirasi, ada satu kelebihan lain iaitu matahatinya yang mengandung kekuatan emosi. Demikianlah Allah SWT menjadikan kita dalam bentuk yang paling sempurna, tetapi disebabkan oleh kejahatan-kejahatan diri sendiri maka manusia akhirnya jatuh pada peringkat yang cukup hina.
Sesuai dengan firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian (jika ia panjangkan umur sehingga tua atau ia menyalahgunakan kesempurnaannya itu) kami kembalikan ia ke serendah-rendah peringkat orang yang rendah.” (Surah al-Tin: Ayat 4-5) Matahati yang dikurniakan Allah SWT berperanan menjadi penyelamat yang memiliki kekuatan tembus pandang dalam mendeteksi yang hak dan batil. Hal ini pernah disabdakan oleh baginda SAW: “Mintalah fatwa dari hatimu, kebaikan itu adalah apa-apa yang tenteram pada jiwa dan tenteram pula hati. Dan dosa itu adalah apa-apa yang syak dalam jiwa dan ragu-ragu dalam hati.”Matahati yang sentiasa bersinar terang adalah milik orang yang beriman, apabila ia berada di kegelapan malam yang pekat sekalipun sinarnya menjadi lebih cantik dan berkilauan Demikianlah keadaannya ketika seseorang itu mengalami kesusahan, semakin bertambahnya ujian Allah, maka semakin terang matahatinya menyuluh rahsia hikmah di sebalik ujian tersebut, bertambahlah keyakinannya pada Allah dan akhirnya mampu menghadapi segala depresi yang melanda jiwa.
Bagaimana kita boleh memiliki matahati yang cantik sinarnya pada setiap keadaan dan situasi apapun. Sesungguhnya petua Al-Quran yang sentiasa hebat sepanjang zaman telah menyebutkan tentang rahsia kekuatan matahati orang-orang beriman, iaitu dalam surah Fusshilat ayat 30 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham) dengan berkata: Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.” Kekal dalam kebaikanManusia dituntut untuk meletakkan dirinya sebagai pengendali hawa nafsu dan pejuang melawan musuhnya iaitu iblis dan syaitan. Selagimana ia berhasil menghadapi tantangan ini, maka dia dikatakan sebagai ‘abid’ iaitu insan yang sentiasa beribadah kepada Allah dengan apa jua amal salih yang dikerjakan. Tetapi permasalahannya ialah apabila timbul dua personaliti dalam diri manusia. Jika bersama dengan orang salih ia menjadi salih, begitu sebaliknya apabila duduk dengan si fasik iapun berbalik menjadi fasik. Memang benarlah jika segala sesuatu di dunia ini serba ekspres, tak terkecuali iman dan kufur boleh bertukar dengan sekelip mata. Akan tetapi antara manusia yang kecundang ini ada yang tetap teguh dan yakin hatinya, disebabkan kesungguhannya itu, para malaikat sentiasa menjadi kawan rapat yang memberi ilham dan dorongan melalui perasaan dan pandangan hati. Mereka memujuk dengan khabar gembira dan janji Allah agar manusia yang beriman ini kekal dan istiqamah dalam kebaikan.
Ilham yang dicurahkan dalam hati manusia merupakan petunjuk dari Allah SWT agar kita sentiasa merasa sakinah dalam menjalani suka duka kehidupan. Maka bersinarlah matahati orang-orang yang beriman dengan sifat istiqamah ini kerana sekali beriman, pantang hatinya berpaling kepada kekufuran. Antara tanda-tanda istiqamah ialah: tidak meninggalkan amal salih yang biasa dikerjakan. Kerana sebaik-baik amal itu adalah yang berterusan walaupun sedikit. Hal ini pernah didengar oleh Abdullah bin ’Amru bin ’Ash apabila baginda Rasul SAW menasihati beliau dengan sabdanya: ”Janganlah kamu seperti si polan, dahulu ia mengerjakan solat malam dan sekarang ditinggalkannya.” (Muttafaqun Alaih) Tanda istiqamah yang kedua ialah jangan menunda amal salih kerana disinilah syaitan banyak meletakkan ranjaunya dan akhirnya kita tertipu oleh sikap suka bertangguh dan mendahulukan kesenangan nafsu. Benarlah firman-Nya yang sentiasa menjadi motivasi orang yang beriman yang bermaksud: ”Dan bersegeralah kamu menuju keampunan Tuhanmu dan memasuki syurga yang luasnya seperti langit dan bumi. Ia disediakan bagi orang yang bertakwa (kepada Allah).” (Surah Ali Imran: Ayat 133)Jangan banyak berangan-angan dan muhasabah diri adalah juga tanda-tanda istiqamah. Maksudnya ialah apabila kita cepat berpuas hati dengan amal salih dan meletakkan syurga menjadi hak kita, walhal dosa-dosa belum dibasuh, kezaliman dengan sesama sendiri masih berterusan dan bekal amal tiada jaminan Allah terima atau tidak kerana keterbatasan ilmu dan kurangnya keikhlasan. Jangan bersedihHati yang bersinar ada pada wajah yang reda, ceria dan gembira dengan apa saja ketentuan Ilahi. Kesedihan dan kerisauan boleh menjejaskan kesihatan hati. Sedih dan risau juga merupakan tanda tidak reda dengan apa yang ditentukan Allah. Semestinya orang beriman yang dilanda musibah meyakini bahawa ada tiga keuntungan di sebalik ujian Allah ini iaitu, pembersih dosa-dosa mereka, janji berupa pahala di akhirat jika mereka reda dan yang ketiga mendapat pengganti sesuatu yang lebih baik dari apa yang diuji itu secepatnya di dunia ini.
Sebagai contoh dalam kehidupan kita, ada seorang hamba Allah yang terpaksa bermadu, Pada mulanya beliau sangat terluka dengan ujian yang menimpanya tetapi dicubanya untuk bertenang dan bersabar lalu memulakan langkah-langkah baru dalam hidupnya. Ia menjadi lebih bijak, matang dan realistik dalam menghadapi musibah itu. Kesabarannya membuahkan hasil, suami yang dahulu bersikap berat sebelah bahkan meletakkan segala aib dan kekurangan pada dirinya menyesali perbuatannya.
Dan semakin banyak keistimewaan yang ditunjukkan Allah pada peribadi isteri tuanya itu sehingga beliau sedar kesilapannya dan akhirnya kembali menghormati dan menyayangi isterinya. Banyak lagi kisah sedih dalam memori kita yang mampu mendewasakan dan mematangkan diri. Kerana kita memiliki hati yang bercahaya yang mampu menyuluh dari kedalaman dan kegelapan jurang ujian dan musibah. Kembali kepada jalan yang lurus dan tenang hingga ke penghujungnya, di sisi Allah mendapat pahala. Firman Allah SWT yang bermaksud: ”Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu. Mereka telah ditimpa kemusnahan harta benda dan serangan penyakit serta digoncangkan oleh ancaman musuh, sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang beriman yang ada bersamanya. Bilakah datangnya pertolongan Allah? Ketahuilah sesunguhnya pertolongan Allah itu dekat.” (Surah Al-Baqarah: Ayat 214)