Masih Belum Terima Tarikh Vaksin Di Aplikasi MySejahtera? Ini Mungkin Sebabnya
Tempahan secara sukarela untuk menerima vaksin AstraZeneca telah dibuka kepada penduduk Selangor dan Kuala Lumpur. Dalam masa beberapa jam kesemua slot 268,000 suntikan telah diambil dengan pengesahan akan dihantar kepada pendaftar menerusi aplikasi MySejahtera dalam masa 48 jam.
Majoriti telah mula mendapat pengesahan sejak pagi semalam tetapi terdapat juga sebilangan kecil yang mengadu belum menerimanya. Antara insan yang tidak menerima pengesahan slot pada tarikh yang dipilih ialah saya sendiri. Oleh sebab itu kerisauan mula timbul dan saya terus cuba mendapatkan pengesahan terus dari pusat akaun Twitter Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 @JKJAVMY hari ini.
Kenapa Masih Tak Dapat Pengesahan Slot Astra Zeneca?
Selepas menghubungi JKJAVMY, saya diberikan sebab mengapa situasi ini berlaku dan ianya cukup memalukan. Dalam kes saya sendiri, nombor kad pengenalan tersilap satu angka di MySejahtera dan oleh sebab itu tidak sama dengan nombor kad pengenalan sebenar yang digunakan untuk melakukan tempahan di laman vaksincovid.gov.my Ahad yang lalu.
Oleh sebab itu terdapat pengesahan slot di laman web tetapi tidak pada aplikasi MySejahtera. Sebarang kesilapan pada nombor telefon atau passport yang digunakan untuk mendaftar juga boleh menyebabkan timbul masalah yang serupa.
Apa Yang Boleh Anda Lakukan?
Bagi mereka yang masih mempunyai masa kerana tarikh menerima vaksin masih lagi jauh, anda boleh meminda maklumat peribadi MySejahtera dari dalam aplikasi. Pergi ke profil dalam aplikasi MySejahtera dan pilih MySejahtera Helpdesk. Ikut arahan yang diberikan dan sebuah emel akan dihantar dengan waktu memproses permintaan pada waktu ini mengambil masa sehingga 5 hari.
Bagaimana pula bagi mereka yang tidak boleh menanti kerana kesuntukan masa? Anda boleh melakukan panggilan terus ke talian 1-800-888-828 untuk mendapatkan bantuan segera. Bagi yang mempunyai akaun Twitter, Khairy Jamaluddin sudah mengesahkan orang ramai boleh menghantar mesej peribadi (DM) ke akaun @JKJAVMY untuk mendapatkan bantuan segera
Sebarang perubahan lain pada maklumat peribadi turut boleh dilakukan di Pusat Pemberian Vaksin pada hari anda menerima suntikan kelak untuk pengesahan terakhir sebelum menerima vaksin.
Fasa ketiga Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) akan bermula 5 Mei 2021 dan oleh itu sekiranya anda masih belum menerima sebarang pengesahan slot tetapi sudah lama mendaftar mungkin berlaku kesilapan diri anda sendiri.
Tangkapan layar status di laman vaksincovid.gov.my
Dengan program tempahan vaksin AstraZeneca akan dikembangkan ke seluruh Malaysia kelak, ada baiknya jika anda memeriksa maklumat peribadi dalam aplikasi MySejahtera sekiranya anda tidak mahu menerima nasib yang sama seperti saya. Semaklah dengan segera bagi mengelakkan kerisauan di kemudian hari.