Malaysia sedang dalam proses untuk mematikan rangkaian 3G di seluruh negara untuk membolehkan spektrum-spektrum in diagihkan kepada rangkaian-rangkaian lain seperti 4G dan 5G yang lebih meluas. Malah, peranti-peranti yang dihantar ke SIRIM untuk pengesahan penggunaan juga tidak akan diluluskan sekiranya ia tidak mempunyai sokongan untuk sistem VoLTE.
Pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia menjangkakan bahawa rangkaian ini akan ditutup pada penghujung tahun ini. Sehubungan dengan itu, syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan nampaknya telahpun mula mengeluarkan pesanan khidmat masyarakat yang mana mengumumkan tentang penutupan rangkaian ini, dan meminta para pelanggan mereka untuk mengaktifkan sokongan VoLTE (Voice-over-LTE) untuk menikmati kualiti audio panggilan yang lebih baik.
Celcom misalnya baru sahaja menghantar SMS mengenai perkara ini kepada pelanggan-pelanggannya, dan mengatakan untuk mengaktifkan ciri tersebut supaya kualiti panggilan anda tidak turun terus ke rangkaian 2G apabila menjawabnya.
Kami menjangkakan bahawa syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan, bersama-sama dengan KKMM semuanya sedang dalam proses menutup pencawang-pencawang 3G, dan menaiktarafkan kelengkapan radio untuk memudahkan pemasangan rangkaian 4G dan 5G di masa akan datang.